Ada khabar mengatakan peratusan obesiti di Melaka adalah yang tertinggi di Malaysia. Samada ia benar atau tidak dan bagaimana fakta itu diperolehi boleh dibincangkan kemudian. Tetapi sesuatu yang menjelma di fikiran kita adakah ini berpunca daripada makanan yang sedap dan banyak di Melaka.
Hakikat ini sememangnya perlu diakui kerana sememangnya Melaka terkenal dengan kepelbagaian resipi. Resipi baba nyonya yang terkenal sejak dulu, juga resipi Melayu, Cina dan India yang sememangnya baik dan kini Melaka dibanjiri dengan masakan dari Sumatera.
Sambil melancong menikmati susur galur sejarah negara di Melaka, kita boleh menikmati pelbagai makanan selain daripada asam pedasnya yang amat popular. Di sini, disenaraikan 6tempat makan menarik di Melaka tanpa mengikut ranking dan populariti.

Tempat Makan Popular Melaka


#1 Asam Pedas Selera Kampung

G2, Jalan P.M.3 Plaza Mahkota Square, Bandar Hilir, Melaka
Melaka dan asam pedas adalah satu gabungan yang tidak langsung boleh dipisahkan. Menyebut Melaka, penggemar makanan akan terbayangkan asam pedasnya yang amat digemari bukan saja masyarakat setempat malah juga pengunjung dari luar.
Asam Pedas Selera Kampung
Asam Pedas Selera Kampung
Asam Pedas Selera Kampung
Antara restoran asam pedas yang agak popular adalah Asam Pedas Selera Kampung yang terletak di Bandar Hilir. Mungkin kerana kedudukannya maka ia amat mudah menarik perhatian pengunjung dari luar termasuk dari Singapura yang begitu ramai di sini.
Asam pedasnya meliputi pelbagai jenis ikan seperti ikan parang, pari, jenahak dan sebagainya. Dengan kuah yang pekat dan merah, rasanya amat sedap dimakan pula dengan nasi panas serta iringan ulam-ulaman segar.
Selain asam pedas terdapat juga gulai masak lemak cili api ketam, masak lemak cili api udang galah, masak lemak daging salai, kerabu mangga, ayam kampung goreng berempah dan ikan bakar yang amat sedap malah ada yang mengatakan menu-menu ini lebih sedap daripada asam pedas itu sendiri terutamanya sambal pencicah ikan bakarnya. Memang patut datang ke Restoran Asam Pedas Selera Kampung ini.

#2 Coconut Shake Alai

KM 8, Alai, Melaka
Jika anda sudah kenyang dengan asam pedasnya, Coconut Chake Alai ini boleh dicari untuk melegakan kepedasan dan kepanasan asam pedas. Di Melaka, Coconut Shake Klebang adalah yang sering menjadi perhatian kerana lagendanya namun sengaja Coconut Shake Alai ini dipillih kerana kualitinya juga tidak mengecewakan malah setanding dengan hidangan di Klebang.
Ada yang berpendapat coconut shake di sini lebih baik tetapi semuanya terpulang kepada citarasa masing-masing. Namun rasanya memang amat sedap dan servisnya juga cepat.
Coconut Shake Alai
Coconut Shake Alai
Terdapat juga makanan sampingan yang lain untuk dimakan seperti nasi lemak dan sebagainya. Jika anda ke Melaka bolehlah mencuba coconut shake di sini .

#3 Cendol Jam Besar

Hadapan Muzium Belia Malaysia, Bandar Hilir, Melaka
Satu lagi tempat penghilang dahaga yang boleh diunjungi adalah Cendol Jam Besar yang begitu popular ini. Terletak di tengah-tengah Bandar Hillir dan di tebing Sungai Melaka, kita bukan saja boleh menikmati cendol, tetapi juga keindahan Sungai Melaka dan tiupan angin yang mendamaikan di tengah kepanasan Bandaraya Melaka. Boleh jadi tidak tidur malam memikirkanCendol Jam Besar.
Cendol dengan jagung, kacang merah, pulut, aiskrim dan pelbagai lagi pilihan untuk dipilih. Santan yang lemak berkrim, gula Melaka asli yang wangi, ditambah pula cendol yang lembut, jagung yang rangup memang mudah sekali menangkap selera anda tambahan bagi mereka yang kehausan. Cendolnya juga tidak terlalu manis. Antara cendol yang kerap menjadi pilihan adalah cendol durian.
Cendol Jam Besar
Kelemahannya adalah pelanggan yang terlalu ramai. Mungkin juga ia suatu kelebihan bagi pemiliknya. Oleh sebab itu, kita terpaksa beratur untuk mendapat tempat duduk malah ada yang terpaksa makan sambil berdiri. Kadangkala anda mungkin kempunan kerana kehabisan. Harganya agak mahal terpulang kepada penilaian masing-masing. Kalau teringin cendol, bolehlah datang makan di Cendol Jam Besar.

#4 Satay Kampung Jawa

Kampung Jawa, Melaka
Melaka bukanlah tempat yang terkenal dengan satay. Namun nama Satay Kampung Jawabukanlah asing kerana ia antara satay yang amat popular dan menjadi sebutan di Melaka. Juga terletak di tebing sungai Melaka, pelanggan boleh menikmati satay yang enak tersebut sambil melihat-lihat alunan air sungai Melaka yang dibelah oleh bot-bot ‘cruise’ yang membawa pelancong.
Namun keindahan sungai Melaka tersebut tidak mampu menenggelami kesedapan Satay Kampung Jawa yang terkenal dengan saiznya yang besar. Satay di sini hadir dengan pelbagai jenis seperti ayam, daging, perut malah yang uniknya adalah satay hati dan juga kerang yang jarang-jarang boleh didapati di tempat lain.
Satay Kampung Jawa
Satay Kampung Jawa
Satay Kampung Jawa
Sataynya dibakar dengan baik dengan kesan bakaran dan asap di luar serta isi yang berjus menjadikan setiap gigitan tidak mengecewakan. Kuahnya juga amat sedap dan serasi dengan rasa satay tersebut.
Selain satay terdapat juga menu lain seperti mee rebus, mee rojak dan rojak. Mungkin kerana saingan yang tidak banyak dan kedudukannya, pelanggan begitu ramai di restoran ini dan kadangkala kita terpaksa untuk beratur. Namun tidak adil untuk kita menafikan kesedapan dan kualiti sataynya. Jom cuba Satay Kampung Jawa!

#5 Perhentian Kuih Kampung

Jalan Ujong Pasir, Melaka
Kedai ini juga dikenali sebagai kedai bawah pokok kerana kedudukannya berhampiran sebatang pokok angsana yang besar. Perhentian Kuih Kampung amat terkenal dengan kepelbagaian kuih muihnya. Terdapat pelbagai jenis kuih daripada kuih tradisional sehinggalah kepada kuih-kuih yang moden.
Malah kepelbagaiannya melangkaui sempadan negeri. Tetapi yang lebih penting adalah semua kuih-muih yang dijual di sini begitu sedap. Tidak hairanlah jika anda akan mendapati agak ramai pelancong asing yang menjamu selera di kedai ini.
Perhentian Kuih Kampung
Perhentian Kuih Kampung
Perhentian Kuih Kampung
Di sebelah yang lain kedai pula dikhaskan untuk kuih muih manis dan pelbagai jenis kuih talam. Terdapat juga mee hailam dan juga mee kari. Malahan asam pedas disini juga sangat sedap dan mampu menyaingi asam pedas yang lebih popular dengan mudah. Begitu juga dengan nasi lemak dan kuih pau yang amat baik kualitinya.
Buat anda yang mahu menikmati sarapan hebat, mungkin kunjungan ke Perhentian Kuih Kampung boleh memberikan pengalaman yang baik kerana makanannya amat sedap dengan harga yang berpatutan.

#6 Cucur Udang Alor Gajah

Gerai No 1, Medan Selera Pasar Menggong,  Alor Gajah, Melaka
Gerai no.1 di Medan Selera Menggong yang tertulis Perniagaan Cucur Udang Alor Gajahamat popular dengan menu cucur udangnya yang amat sedap. Ia menjadi buah mulut penduduk tempatan mahupun juga pengunjung dari dalam dan luar negara. Apa yang sebenarnya menjadikan cucur udang ini istimewa adalah gabungan komponennya yang pelbagai daripada cucur udang , fish cake, sosej, nugget, timun, tauhu dan pelbagai lagi sehinggalah kepada popia.
Ada pelanggan yang memberikan kredit kepada fish cake yang amat sedap. Kuahnya juga amat sedap dan pekat serta ada terasa sedikit manis gula Melaka dan kepedasannya begitu serasi dengan cucur udang dan komponen yang lain. Memang tangkap meleleh Cucur Udang Alor Gajah.
Cucur Udang Alor Gajah
Cucur Udang Alor Gajah
Cucur Udang Alor Gajah
Harganya amat berpatutan, namun servisnya boleh dipertingkatkan kerana pelanggan mereka yang semakin ramai akan memperlahankan servis mereka.
Terdapat nasihat yang baik daripada pelanggan iaitu cucur udang ini lebih sedap dimakan di sini berbanding dibungkus kerana lebih segar dan rangup.

…………………………………………………………………………….

Tempat-tempat di dalam senarai ini sememangnya sengaja dipilih untuk menampilkan kelainan berbanding banyak lagi tempat-tempat yang lebih popular. Mungkin anda mempunyai pendapat yang berbeza tentang makanan-makanan tersebut, namun semuanya bergantung kepada citarasa masing-masing.
Apapun, berkunjung ke Melaka pasti tidak akan membuatkan anda kelaparan malah pastinya anda akan kekenyangan daripada pagi sehingga ke malam. Jangan lupa share dan like artikelTempat Makan Menarik Melaka.